ASSALAMUALAIKUM
ASSALAMUALAIKUM
Monday, December 20, 2010
Anak-anak dan menantu keluarga Hasan bin Mat Yatim
Dari kiri Othman,Hanisah,Omar,Maria,Arbaatol Robaiah,Mohamed,Noor Adura,Norhainan,Kamarulzaman,Kamarul Bahrin dan Rozana.
yang tiada di sini Abd Razak
Sunday, December 19, 2010
BAB II SALASIAH KETURUNAN OTHMAN BIN HAJI HASSAN DAN HANISAH BINTI JAAFAR
ANAK-ANAK OTHMAN
KHAIRUL HAZIMIN BIN OTHMAN
Sedikit kisah kehidupan anak-anak Othman. Khairul Hazimin adalah anak sulong kepada Othman dan Hanisah. Dilahirkan pada 26.2.1986 di Alor Setar, Kedah kerana ibundanya ingin melahirkan anak sulongnya di kampungnya sendiri. Mendapat pendidikan awal di SK Kem Pengkalan Chepa, Kota Bharu (Darjah 1 dan 2 = 1993 – 1994), SK Kem Sri Kinabatangan, Sandakan (Darjah 3 = 1995), SK Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu (Darjah 4 = 1996), SK Taman Uda (Darjah 5 dan 6 = 1997 - 1998), SM Tengku Bariah, Kuala Terengganu (Tingkatan 1 hingga 4 = 1999 – 2001), SM Shan Tao (Tingkatan 4 dan 5 = 2002 - 2003). Sejarah yang ditinta ialah kata-katanya semasa kecil seperti ”Totong” semasa melintasi kuil dan ”Tok, Tan Ti”. Puas punya mencari jawapan barulah ditemui iaitu ”Tokong” dan ”Tok, Ikan mati”. Apa taknya, Hazimin masukkan ikan masin dalam akurium dirumah tok nya, habis ikan timbul. Seterusnya melanjutkan pelajarannya di IKIP Kuantan mulai 19 Jun 2006 dalam Diploma Komputer Sains. Sebaliknya, beliau gagal dalam bidang yang diceburi tetapi melanjut kembali ke jurusan Diploma Kejururawatan di Kolej Universiti MAHSA pada Januari 2008. Menamatkan pengajiannya pada 23 Disember 2010.
NOR IDAYU BT OTHMAN
Nor Idayu juga di lahirkan di Alor Setar, Kedah pada 2.8.1988 kerana ibundanya ingin juga melahirkan anak keduanya di kampungnya sendiri. Mendapat pendidikan awal di SK Kem Sri Kinabatangan, Sandakan (Darjah 1 = 1995), SK Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu (Darjah 2 = 1996), SK Taman Uda (Darjah 3 dan 4 = 1997 - 1998), SK Sultan Sulaiman II, Kuala Terengganu (Darjah 5 dan 6 = 1999 - 2000), SMK Chung Hwa Wei Sin, Kuala Terengganu (Tingkatan 1 = 2001), SM Perempuan Likas, Kota Kinabalu (Tingkatan 2 dan 3 = 2002 - 2003) dan SMK Mergong (Tingkatan 4 dan 5 = 2004 - 2005). Semasa kecil, Idayu mempunyai sejarah tersendiri iaitu telah berak kedalam poket Salina bt Hassan, kakak saudaranya. Seterusnya melanjutkan pelajarannya di Kolej Politeknik Mara, Cheras mulai 4 Julai 2006 dalam Diploma Perakaunan. Walau bagaimanapun, beliau telah gagal dalam jurusan yang dipilih dan akhirnya mengambil jurusan Diploma Kejururawatan di Kolej Universiti SEGI, Subang Jaya pada Julai 2007. Dijangka akan menamatkan pengajiannya pada pertengahan 2010. Pada 1 Ogos 2009, beliau telah melangsungkan pertunangannya dengan jejaka pilihan nya, Muhammad Yahya bin Mohd Rashid, berasal dari Kuala Selangor (Ayahnya dari Terengganu dan Ibundanya dari Kuala Selangor). Seterusnya pada 1 Januari 2011, mereka telah melangsungkan pernikahan.
KHAIRUL HAZWAN BIN OTHMAN
Khairul Hazwan di lahirkan di Kuala Lumpur pada 13.12.1989. Mendapat pendidikan awal di SK Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu (Darjah 1 = 1996), SK Taman Uda (Darjah 2 dan 3 = 1997 - 1998), SK Sultan Sulaiman II, Kuala Terengganu (Darjah 4 dan 6 = 1999 – 2001), SM Shan Tao, Kota Kinabalu (Tingkatan 1 dan 2 = 2002 – 2003), SM Mergong (Tingkatan 3 hingga 5 = 2004 - 2006). Semasa kecil, Hazwan juga mempunyai sejarah tersendiri iaitu semasa didalam sekolah rendah di Kelantan, selalu saja kalau pulang dari sekolah akan memakai seluar lain. Mengapa begitu..... Haaa... Berak dalam seluar lah. Juga kalau menangis, air nira cukup banyak meleleh dari mulut dia. Selepas tamat Tingkatan 5, beliau telah dipaksa mengambil jurusan Diploma Kejururawatan bermula pada November 2007. Namun beliau gagal. Pada 6 Oktober 2009, sekali lagi beliau telah dipaksa oleh bapanya untuk mengambil jurusan Diploma Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Ranaco Education & Training Institute (RETI), Kemaman, Terengganu. Jika mengikut jadual, beliau akan menamatkan pengajiannya pada pertengahan 2012 (2½ tahun).
KHAIRUL HUZAIMIE BIN OTHMAN
Khairul Huzaimie di lahirkan di Kota Bharu, Kelantan pada 22.10.1993. Mendapat pendidikan awal di SK Sultan Sulaiman I, Kuala Terengganu (Darjah 1 dan 2 = 2000 - 2001), SK Lok Yuk, Kota Kinabalu (Darjah 3 dan 4 = 2002 – 2003), SK Seri Perdana, Alor Setar (Darjah 5 dan 6 = 2004 - 2005) dan SM Malim, Melaka (Tingkatan 1 = 2006 - 2010). Pun ada sejarah tersendiri. Dimasa kecilnya, puting getahnya tak boleh ditinggalkan. Usaha untuk memisahkan putingnya ialah dengan meletakkan cacing dalam puting tu. Pun tak menjadi. Letak nescafe, dia komplen ”Mama, rasa macam nescafe”. Akhirnya letak rambut dan bermacam-macam lagi dan dengan usaha yang gigih dari kedua ibubapanya, maka akhirnya telah berjaya memisahkan Huzaimie dengan Puting Kesayangannya.
KHAIRUL HUSAINI BIN OTHMAN
Khairul Husaini di lahirkan di Kem Sri Kinabatangan, Sandakan pada 17.10.1994. Sebenarnya dia tak sempat-sempat nak tengok dunia luar. Bapanya dan seluruh keluarga nya baru saja mendarat di Lapangan Terbang Sandakan pada 15.10.1994 kerana bertukar tempat kerja dari Kem Pengkalan Chepa, Kota Bharu ke Kem Sri Kinabatangan, Sandakan. Di rumah kediaman kami yang baru, Husaini telah melompat keluar dari perut ibundanya ke alam nyata. Mendapat pendidikan awal di SK Sultan Sulaiman I, Kuala Terengganu (Darjah 1 = 2001), SK Lok Yuk, Kota Kinabalu (Darjah 2 dan 3 = 2002 – 2003), SK Seri Perdana, Alor Setar (Darjah 4 dan 5 = 2004 - 2005) dan SK dan SM Malim, Melaka (Darjah 6 = 2006 - 2011). Sejarah yang selalu diingati oleh ibundanya ialah ayatnya semasa kecil iaitu ”Tok, Cing Put”. Aduhai, puas memikir barulah dapat jawapan, ”Tok, Nak kencing kat rumput”. Nama gelaran yang diberi kepadanya ialah KODEK. Walau bagaimanapun, pada 29 September 2009, nama KODEK telah ditukarkan kepada nama DEKO oleh abang sulungnya sempena siri telivisyen Deko Deko Deko.
BAB II SALASIAH KETURUNAN HAJI HASAN BIN MAT YATIM (1929 – 2004) DAN HAJJAH RAHIMAH BINTI ABDULLAH @ LAM YIN CHUN (1939 – 1995)
PERJALANANAN HIDUP NENDA
Hj Hasan bin Mat Yatim merupakan anak ketujuh dalam keluarga Mat Yatim bin Abdullah. Namun secara rasmi nya, beliau adalah dikirakan sebagai anak Kelima kerana ketiadaan dua orang abang dan kakaknya yang diambil Bunian serta yang diserahkan kepada seorang guru.
Telah dilahirkan pada 16 April 1929 di Chikus, Telok Intan, Perak. Mendapat pendidikan di Sekolah Rendah Sg Manik sehingga Darjah 5. Namun pada masa tersebut, kelulusan Darjah 5 boleh dianggap baik kerana layak untuk menjadi seorang guru.
Semasa kecil, Hasan juga dipanggil oleh seorang keturunan diraja Kedah sebagai Hasanudin. Telah beberapa kali, keturunan raja Kedah berkenaan iaitu Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, yang juga sepupu kepada ibunda Hasan, Maimunah, telah datang ke Teluk Intan untuk mencari Hasan. Malangnya, Hasan sentiasa melarikan diri dari ayahanda saudara nya.
Pada usia 23 tahun iaitu pada tahun 1952, beliau telah memohon untuk berkhidmat dengan Tentera British. Permohonannya berjaya dan beliau ditempatkan di Changi, Singapura. Pada tahun 1957, Hasan telah ditugaskan ke Hong Kong. Sebelum bergerak ke Hong Kong, khabarnya Hasan telahpun bertunang dengan seorang gadis Chikus. Belayarlah Hasan ke Hong Kong. Apakah Hasan mempunyai gelaran semasa hayatnya? Jawapannya ialah YA, HASAN MAMBO. Gelaran ini diperolehinya kerana kecekapannya dalam tarian Mambo, dan memang benar beliau dikenali ramai diatas kelincahannya itu.
Bermula di Hong Kong lah, maka sejarah HJ HASAN BIN MAT YATIM bermula dimana Hasan telah bertemu dengan seorang gadis Canton, China yang bernama LAM YIN CHUN.
Lam Yin Chun telah dilahirkan pada tahun 1939 di sebuah perkampungan di Canton, China (Sekarang dikenali sebagai Kwang Tong dalam daerah Guangzhou). Ayah nya telah hilang semasa Tentera Jepun menjajahi China antara tahun 1942 – 1945. Ibunya yang bernama Fong Kiew akhirnya telah mengahwini Lam Chee Keong. Pada tahun 1958, Lam Yin Chun telah memasuki Hong Kong bertujuan untuk mencari pekerjaan. Bermula disinilah Hasan bertemu Lam Yin Chun. Akhirnya, pada 5 Oktober 1958, Hasan menikahi Lam Yin Chun dan mereka diterbangkan secara berasingan ke Singapura.
Lam Yin Chun telah menukarkan nama Islamnya kepada Rahimah bt Abdullah (Nombor Kad Pengenalan: 7600440).
Hasil perkahwinan Hasan dan Rahimah, maka lahirlah kedunia ini Othman (24.12.1959), Omar (21.12.1961), Muhammed (30.10.1964), Kamarudzaman (18.3.1967), Arbaatol Robaiah (20.12.1970) dan Kamarulbahrin (27.10.1976). Kemudian menyusuli Khomshatol Bariyah (1972) dan Abdul Razak (26.03.1988) dalam kehidupan mereka.
Pada tahun 1960, Hasan telah menamatkan perkhidmatannya dari Tentera British. Sejurus selepas menamatkan perkhidmatan dari Tentera British, beliau bersama isterinya dan anak sulongnya telah kembali menetap di Telok Anson, Perak (sekarang Telok Intan). Pada tahun 1961, Omar, anak kedua mereka telah dilahirkan. Walau bagaimanapun, pada tahun yang sama, Hasan telah dipanggil kembali untuk memulakan perkhidmatannya dengan Tentera Udara DiRaja Malaysia dengan nombor tentera 700662 sehinggalah beliau menamatkan perkhidmatannya pada akhir tahun 1979. Sepanjang perkhidmatannya di dalam Tentera Udara DiRaja Malaysia, beliau telah berkhidmat di Kuala Lumpur (1961 – 1969), Butterworth (1969 – 1973) dan Alor Setar (1973 – 1978). Seterusnya pada tahun 1978, beliau telah menjalani Latihan Peralihan sebelum menamatkan perkhidmatan dalam Tentera Udara DiRaja Malaysia pada pertengahan tahun 1979.
Selepas menamatkan perkhidmatan, beliau bersama keluarganya telah berhijrah ke Kuala Lumpur dan mendirikan rumah setinggan di Gombak. Nasib menyebelahi mereka kerana dalam tahun 1981, mereka telah ditawarkan sebuah rumah pangsa (flat) di Taman Melati, Gombak Setia. Disitulah mereka berteduh hingga keakhir hayat mereka.
Pada tahun 1990, Hasan dan Rahimah telah menunaikan Ibadah Haji. Namun kesedihan melanda keluarga Hasan dan keluarganya apabila pada 29 Oktober 1995, Hajjah Rahimah kembali ke Rahmatullah. Sebelum Rahimah menghembuskan nafas terakhir, beliau telah pergi menziarahi anak mereka, Kamarudzaman bin Hj Hasan yang tinggal di Paka, Terengganu. Setelah mandi, Rahimah yang baru hendak keluar dari bilik air tetapi mungkin disebabkan darah tingginya naik, maka beliau telah pitam dan terjatuh. Akibat itu, maka darah telah keluar dari hidung dan mulutnya. Beliau juga telah koma untuk beberapa hari dari 24.10.1995 hingga 26.10.1995 dan terlantar di Hospital Kuantan. Beliau telah dipindahkan ke Hospital Tawakkal, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur pada 27.10.1995 sehinggalah menghembuskan nafasnya di hadapan anak-anak dan suaminya pada 29 Oktober 1995.
Sejurus selepas Hajjah Rahimah kembali ke Rahmatullah, pada tahun 1996 Haji Hasan telah menikahi Khatijah bt Taib yang berasal dari Kg Gadek, Alor Gajah, Melaka. Malang tidak berbau, pada 3 Disember 2000, baru 3 hari berpuasa (3 Ramadan 1420 Hijrah) Khatijah ditimpa kemalangan jalanraya bersama-sama adiknya Zaiton dan meninggal dunia ditempat kejadian. Haji Hasan menyusuli mereka ke Rahmatullah pada 17 Oktober 2005. Untuk kisah selanjutnya keluarga Hj Hasan akan dipaparkan pada siri akan datang.
OTHMAN (1959)
Anak sulong mereka, Othman, telah dilahirkan di Jalan Chua Chu Kang, Singapura pada 24 Disember 1959. Pada tahun 1961, dalam usia lebihkurang satu tahun enam bulan, telah berpindah bersama Hasan ke Kuala Lumpur dan menetap di Jalan Lapangan Terbang Lama, Kuala Lumpur.
Mendapat pendidikan di Shaw Road School II, Kuala Lumpur dari Darjah Satu hingga Darjah Empat (1966 – 1969). Kemudian melanjutkan pelajaran di St Mark School, Bagan, Butterworth (1969 – 1971) dan St Mark Secondary School, Bagan Ajam (1971 – 1973). Seterusnya di St Michael School (1974 – 1976), Alor Setar dimana Othman telah menduduki Peperiksaan Malaysia Certificate of Education (MCE) dengan mendapat Pangkat 3 Agregat 36.
Sepanjang menamatkan persekolahannya, beliau telah mencuba untuk bekerja bagi mendapatkan sedikit wang saku. Telah bekerja sebagai pencuci kereta, penjaga pam minyak SHELL, operator kilang pembuatan plastik PVC, pengawal keselamatan dan juga sebagai kontraktor bangunan.
Walau bagaimanapun, beliau telah memohon untuk menjalani Latihan Pegawai Kadet Angkatan Tentera Malaysia dan memulakan latihan tersebut di Yunit Latihan Pendahuluan Pegawai Kadet (YLPPK), Port Dickson mulai 10 Julai 1978. Seterusnya melanjutkan latihan di Maktab Tentera DiRaja, Sg Besi sehinggalah beliau ditauliahkan kedalam 17 RAMD pada 23 Jun 1979. Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah, mewakili Yang DiPertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah telah berkenan untuk menyampaikan tauliah kepada pegawai-pegawai kadet pengambilan ke 34 (Intake 34).
Sepanjang perkhidmatannya, beliau telah bertugas dibeberapa tempat seperti Kem Majidee, Johor Bahru (17 RAMD) dan Kem Kukusan, Tawau (17 RAMD) mulai 23 Jun 1979 hingga 31 Disember 1984. Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur mulai 1 Jan 1985 hingga 31 Disember 1987. Kem Pengkalan Chepa, Kota Bharu dan Kem Sri Kinabatangan, Sandakan (24 RAMD) mulai 1 Jan 1988 hingga 15 Oktober 1995. Markas 5 Briged, Kota Kinabalu mulai 16 Oktober 1995 hingga 19 Januari 1997. Pemerhati Tentera di PBB, Angola mulai 20 Januari 1997 hingga 20 Oktober 1997. Sekembali dari Angola, ditumpangkan ke Bahagian Logistik Pertahanan, Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur sehingga 28 Februari 1998. Pada 1 Mac 1998 hingga 15 Julai 2001, bertugas di Kem Seberang Takir, Terengganu (18 RAMD). Kemudian ditumpangkan ke Bahagian Keselamatan Negara Negeri Sabah, Kota Kinabalu mulai 16 Julai 2001 hingga 15 Oktober 2003. Ditukarkan lagi ke Markas 5 Briged sebagai Kem Komandan mulai 16 Oktober 2003 hingga 15 Oktober 2004. Ditukarkan ke Rejimen 504 Askar Wataniah mulai 16 Oktober 2005 hingga 31 Disember 2005.
Walau bagaimanapun, Othman, yang bercita-cita besar dan tamak, serta berpandangan jauh ke hadapan telah memohon untuk bersara secara pilihan dari perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia telah mula bekerja di Rigidtex Sdn Bhd, Melaka mulai 7 Jun 2005 sehingga 7 Ogos 2009. Sepanjang bekerja di syarikat milik Jepun tersebut (Sumitomo Bakelite Co Ltd), beliau masih lagi dalam perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia sehingga 31 Disember 2005. Othman menamatkan kerjayanya di Rigidtex Sdn Bhd kerana syarikat tersebut di tutup akibat keadaan ekonomi yang melanda sejak Oktober 2008.
Dari segi pengalaman, Othman telah banyak menjelajahi hutan belantara dimana pada kiraan kasar, beliau telah berada dalam pasukan-pasukan Rejimen Askkar Melayu DiRaja selama lebihkurang 18 tahun. Hutan belantara yang pernah di jelajahi bertujuan untuk mempertahankan kedaulatan negara adalah di Perak (Hutan Belom), Kedah (Pengkalan Hulu/Kroh), Pahang (Raub dan Benta), Sarawak (Naman Assan).
Negara-negara yang telah dilawati samada bertujuan untuk latihan atau tugas rasmi pula ialah Australia, Afrika Selatan, Indonesia, Filipina, Angola dan Thailand. Negara yang dirancang untuk lawatan akan datang adalah Jepun, India, Bangladesh dan Mekah. Beliau bercadang untuk melawat Negara-negara ini bersama isterinya.
Dari segi kursus-kursus pula, Othman tidak mempunyai sebarang pun kursus kepakaran. Tetapi dari segi kelasakan dan kemahiran ialah Kursus Orientasi Komando (1979), Kursus Combat Intelligence (UCIS - 1981), Pengurusan Pelarian oleh UNHCR, Pengurusan Tembak Tempur (1991) serta kursus-kursus Taktik Peperangan.
Othman telah menikahi Hanisah bt Jaafar pada 30 Ogos 1984 dan dikurniakan 5 orang cahayamata iaitu Khairul Hazimin (26 Feb 1986), Nor Idayu (2 Ogos 1988), Khairul Hazwan (13 Dis 1989), Khairul Huzaimie (22 Okt 1993) dan Khairul Husaini (17 Okt 1994). Harapan Othman adalah untuk melihat kejayaan anak-anaknya samada dari segi duniawi atau akhirat sebelum menutup matanya dan menghembuskan nafas terakhirnya, dengan izin Allah Subhanahu Wataala.
Dari segi kejayaan Othman, seorang yang berjaya dalam kehidupannya apabila beliau mula mencecah ke usia lingkungan akhir tiga puluhan. Satu perkara yang menarik ialah apabila pada 12 Februari 2010, sewaktu sedang tidor petang, beliau telah menerima panggilan telefon daripada Mohd Asri bin A.Karim, Ketua Perhubungan Persatuan Melayu Brunei Borneo (PEMBARU). Mohd Asri telah menawarkan Othman jawatan Timbalan Ketua Perhubungan PEMBARU Cawangan Semenanjung. Walau bagaimanapun, semasa Othman pergi ke Kota Kinabalu, Sabah pada 22 Ogos 2010 hingga 26 Ogos 2010, belaiu telah bertemu dengan Presiden PEMBARU iaitu Encik Nurdin bin Awang Gandor Shamsudin. Beliau telah memaklumkan bahawa Othman telah dinaikkan jawatan sebagai yang DiPertua PEMBARU (bakal bertukar nama menjadi Pertubuhan Pembangunan Masyarakat Sabah Malaysia (PEMBELA), Lembaga Pengarah PEMBARU Holdings Sdn Bhd dengan memegang saham 10%. Inilah yang dikatakan rezeki anugerah Allah Subhanahu Wataala.
Namun beliau sentiasa berdoa akan kejayaan anak-anak beliau walaupun pada masa sekarang, mereka belum mengerti kepayahan, kegagalan dan kejayaan. Semoga mereka akan menempa kejayaan sebelum Othman meninggalkan kesempurnaan duniawi ini untuk mengecapi akhiratnya, Insya Allah.
OMAR (1961)
Omar merupakan anak kedua hasil perkongsian hidup Hasan dengan Rahimah. Dilahirkan pada 21 Disember 1961 di Teluk Intan, Perak. Seterusnya mendapat pendidikan di Shaw Road School II, Kuala Lumpur dari Darjah Satu hingga Darjah Dua. Kemudian tukar sekolah ke St Mark Primary School, Butterworth dari Darjah Tiga hingga Darjah Enam. Memasuki Tingkatan Satu dan Dua di St Mark Secondary School, Butterworth. Menduduki Peperiksaan Lower Certificate of Education (LCE) di St Michael Secondary School, Alor Setar, Kedah pada tahun 1976 dengan mendapat Agregat 10.
Omar memang seorang yang cerdik. Dia telah mendapat kelulusan yang cemerlang dan telah diterima untuk melanjutkan pelajaran di Royal Military College, Sungei Besi mulai tahun 1977 dan 1979 dalam Tingkatan Empat hingga Tingkatan Enam Bawah. Sekali lagi dalam peperiksaan Malaysian Certificate oif Education (MCE), beliau memperolehi keputusan yang amat cemerlang iaitu Agregat 14.
Semasa sedang belajar di Maktab Tentera DiRaja di Cawangan Putera (Boys Wing), Omar telah berpeluang untuk pergi melawat Sarawak. Disitu lah, Omar mengenali Mary Kendawang, seorang peranakan Suku Iban, dilahirkan pada 06 Mac 1961 dari Ng Sekuau, Sibu, Sarawak. Dari situ berputik lah perhubungan mereka ke jinjang pelamin pada 30 November 1983.
Pada Ogos 1979 hingga Jun 1981, dia ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran di England, South Shields Marine & Technical College, United Kingdom, Phase 1 TEC City & Guilds Diploma in Marine Engineering. Pada Jun 1981 hingga Ogos 1982, beliau melanjutkan Phase 2 Shipboard Practical Training with Shell Tankers (UK) Ltd (Oil Tanker – SS Drupa in North Sea and LNG Tanker SS Gastrana in Brunei). Seterusnya, sekali lagi ke South Shields Marine & Technical College, Phase 3 TEC City & Guilds Higher Diploma in Marine Engineering. Sepanjang pengajiannya di United Kingdom (England), beliau dibiayai oleh Malaysian International Shipping Corporation (MISC). Omar berjaya menamatkan pelajarannya dengan cemerlang. Sekembalinya dari luar Negara, beliau telah melanggari perjanjiannya dan bekerja di satu syarikat lain.
Kerja berganti kerja. Omar telah bekerja dengan beberapa buah syarikat seperti di Brunei, Sarawak, Terengganu, Kuala Lumpur dan entah mana lagi. Terlalu banyak sangat melompat-lompat macam katak. Akhirnya, pada bulan Disember 2005, katak kembali ke lopak nya. Omar kembali bertugas dengan MISC, syarikat yang pernah menaja nya untuk melanjutkan pelajaran ke England. Lari punya lari, terpaksa menyerah diri.
Hasil perkongsian hidup Omar dengan Maria, mereka telah dikurniakan 4 orang anak iaitu Azahari Affendi (30 Ogos 1984), Azahari Affazol (07 Januari 1987), Azahari Affadhil (20 Mac 1990) dan Azaleana Fasheera (01 Julai 1994). Pada 12 Disember 2008, Azahari Effendi di ijabkabul dengan Nurul Ashikin. Pasangan ini dijangka akan menimang cahayamata pertama mereka dalam bulan April 2010. Bermula lah era baru bagi mereka berdua. Pada 19 April 2010, maka lahirlah zuriat pertama mereka.
MUHAMMED (1964)
Muhammed dilahirkan pada 30 Oktober 1964 di Kuala Lumpur. Mendapat pendidikan di SRJK Chung Hwa, Kepala Batas, Alor Setar Kedah sehingga Darjah 6 (1970 – 1976). Fasih dalam Bahasa Mandarin tetapi seorang yang amat keras hati, keras kepala tetapi seorang yang lurus.
Pada tahun 1977, Rahimah telah menghantarnya untuk mendalami Pengajian Agama Islam di Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), Jalan Ipoh, Kuala Lumpur. Jiwanya terkongkong dan tidak lama selepas itu, terbantut lah pelajarannya di PERKIM. Muhammed meneruskan kehidupannya di Kuala Lumpur dan mendapat pekerjaan di kilang Batu Caves.
Di Batu Caves inilah, Muhammed bertemu Rokiah bt Rahim dan mereka melangsungkan perkahwinan pada tahun 1985. Mereka di kurniakan 2 orang anak perempuan bernama Norain bt Muhammed (25 Mei 1986) dan Norhayati (Disember 1988). Jodoh mereka tidak berpanjangan dan akhirnya mereka mengambil jalan yang terbaik iaitu berpisah.
Muhammed memang seorang yang beruntung kerana sejurus selepas itu, beliau telah menikahi anak gadis dari Pendang, Kedah bernama Noor Adura bt Din. Perkahwinan mereka yang dilangsungkan pada 14 Mach 1991 telah menghasilkan 4 orang anak iaitu Shahrul Aizat (29 Mac 1992), Noor Shafira Izzati (9 Mei 1996), Noor Shafira Izwani (21 Februari 2001) dan Noor Shafira Elisya (3 Oktober 2004).
Pada pertengahan tahun 2005, Muhammed mengambil keputusan untuk menerima tawaran ”Voluntarily Stop Service (VSS)” iaitu menamatkan perkhidmatan secara sukarela dari syarikat tempat ia bekerja. Kembali lah Muhammed ke Pendang untuk menjadi seorang petani moden.
Satu keistimewaan yang ada pada Muhammed. Dia boleh berhubung dengan Buniannnn...... Cerita bermula semasa dia bekerja dengan satu kilang yang menggunakan serangga-serangga untuk dijadikan hiasan lambang negara. Muhammed pada satu hari telah memasuki pinggir hutan Gombak untuk mencari Kala Jengking. Semasa sedang mencari, tiba-tiba muncul seorang orang tua yang berpakaian jubah serba putih menghampirinya. Orang tua ini telah membawa Muhammed ke satu perkampungan yang penuh dengan Kala Jengking ini. Maka kutiplah beliau seberapa banyak yang ia inginkan. Yang anehnya, jengking ni tak menyengat pun dia. Aneh bin Ajaib. Lalu pada suatu hari, Muhammed dipelawa si orang tua ini untuk mengahwini si Puteri Bunian tapi dengan sopan-santun, Muhammed menolak pelawaan itu.
Dalam tahun 1988, rasa-rasanya lah, Muhammed terlibat dengan satu kemalangan jalanraya. Tangan Muhammed digilis bas mini. Terlantarlah Muhammed di Hospital Kuala Lumpur. Tangannya tidak dapat digerakkan kerana urat-uratnya telah terputus. Satu malam, Muhammed bermimpi seorang orang tua yang sememangnya dikenalinya telah datang menziarahinya di hospital. Lalu tangannya di urut. Apabila tersedar dari mimpi, Muhammed merasai tangannya sudah boleh bergerak, FULAMAK.....
Satu lagi penempaan sejarah oleh keluarga Muhammed. Anak keduanya hasil perkongsian hidup dengan Rokiah bt Rahim iaitu Norhayati bt Muhammed telah melangsungkan pernikahan nya pada 26 Ogos 2006 (Sabtu bersamaan 2hb Syaaban 1426). Seterusnya Norain bt Muhammed pula melangsungkan perkahwinannya pada 1 januari 2011 dengan jejaka pilihannya.
KAMARUDZAMAN (1967)
Kamarudzaman dilahirkan pada tahun 18 Mac 1967. Mendapat pendidikan pertamanya di SRJK Chung Hwa, Kepala Batas, Alor Setar, Kedah bersama-sama abangnya Muhammed. Seorang yang pendiam, tapi bila naik berang akan menunjukkan keberangannya seperti seekor harimau.
Pada tahun 1984, beliau telah menjalani latihan anggota Bomba di Kuala Lumpur. Sejurus selepas tamat latihan bomba, beliau telah memulakan alam pekerjaannya di Kuala Lumpur dan Cameron Highlands. Di Cameron Highlands, beliau telah bertemu dengan seorang pegawai Jabatan Pengangkutan Jalanraya (JPJ) bernama Norhainan. Mula lah bibit-bibit percintaan dan kasih saying yang tidak terkira, “Kalau Kamal tak kahwin dengan Ina, Ina akan bunuh diri”. Fuyoooo, sanggup bunuh diri kerana cinta. Macam Tok Rahimah yang nak terjun ke laut jika Tok Wan Hassan nak balik ke Malaya dan taknak kahwin dengan dia. Akhirnya, berlangsung lah perkahwinan antara Kamarudzaman dan Norhainan bt Hj Mohd Ali.
Hasil perkahwinan mereka, mereka telah dikurniakan 5 orang anak bernama Khaleeda Nora Ashikeen (14 Februari 1992), Khareel Nor Fadzlee (14 Jun 1993), Khaleeda Nor Asmieda (28 Januari 1996), Khaleeda Nor Asyuhada (5 September 1999) dan Khaleeda Nor Asyakira (25 Februari 2002). Memang benar seperti yang diperkatakan. Norhainan ibarat kilang manusia yang benar-benar produktif. Boleh dikatakan, hampir setiap satu atau dua tahun, beliau akan menghasilkan manusia ke dunia ini.
Kamarudzaman seterusnya telah menamatkan perkhidmatannya dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan menyambung pekerjaannya dengan Petronas sebagai anggota keselamatan. Beliau pernah berkhidmat dengan Petronas di Paka, Terengganu dan kini di Kuantan, Pahang.
ARBAATOL ROBAIAH (1970)
Arbaatol Robaiyah atau lebih dikenali sebagai Baah telah dilahirkan di Bagan Jermal, Butterworth pada 20 Disember 1970. Namanya diambil bersempena satu kisah riwayat seorang pahlawan wanita di tanah Arab pada masa zaman kegemilangan Islam.
Mendapat pendidikan awalnya di SRK Titi Gajah, Alor Setar, Kedah. Sekolah-sekolah lain adalah di SRK Gombak dan SMK Gombak, Kuala Lumpur. Berpendidikan sehingga Tingkatan Lima dengan kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia.
Di usianya yang amat muda dan mentah, semasa tinggal di Flat Taman Melati, Gombak, beliau telah mengenali dan begitu rapat dengan Jafri bin Johari yang kebetulan tinggal berhadapan dengan rumahnya. Dari situlah, maka bibit-bibit rindu merindui telah berputik. Akhirnya pada usia 18 tahun iaitu pada 9 Disember 1989, beliau telah mendirikan rumahtangga dengan Jafri. Jafri bin Johari dilahirkan pada 8 Mach 1963.
Hasil perkongsian hidup mereka, mereka telah memperolehi 5 orang anak iaitu Anashatol Alyana (3 Mei 1990), Anashatol Ainina (1 April 1991), Anashatol Azrina (11 April 1992), Muzamil Jasni (30 Januari 1994) dan Anashatol Asnaeda (23 Februari 1995). Baah juga ibarat kilang yang produktif. Hampir setiap tahun melahirkan anak yang kini telahpun meningkat usia remaja. Kini mereka menetap di Kajang. Jefri yang pada asalnya seorang pegawai Bank Bumiputra telah menukarkan kerjayanya sebagai tukang masak. Seterusnya bertukar lagi kerjayanya sebagai pemandu dan akhirnya sebagai seorang kontraktor.
Walau bagaimanapun, pada 14 Februari 2010 (Tahun Baru Cina), suaminya telah menjatuhkan Talak satu kepada beliau.
KAMARULBAHRIN (1976)
Kamarulbahrin yang juga senang dikenali sebagai Alim telah dilahirkan 27 Oktober 1976. Anak terbongsu tetapi terbesar dikalangan saudara-saudaranya. Mendapat pendidikan awal pada tahun 1982 di SRK Gombak. Seterusnya menyambung persekolahan menengahnya di SMK Gombak sehinggalah pada tahun 1990, sepatutnya ia akan menduduki Peperiksaan Sijil Rendah Persekolahan (SRP), kedua-dua ibubapanya telah pergi ke Tanah Suci Mekah untuk menunaikan ibadat haji. Mengambil peluang ini, Alim juga telah pergi untuk berhaji dengan memonteng persekolahannya di Jalan Chow Kit dan kawasan persekitaran Kuala Lumpur. Walaupun begitu, keputusan peperiksaan SRPnya agak baik dan beliau telah melanjutkan pelajarannya ke Tingkatan Empat di sekolah yang sama. Memang tidak diduga, alam persekolahannya hanya tamat disitu sahaja dimana Alim mengambil keputusan memonteng dan berhenti dari alam persekolahan.
Dari segi alam pekerjaan, tidak menentu alam pekerjaannya. Ibarat tupai, dari satu dahan melompat ke satu dahan yang lain. Juga telah beberapa kali membuka bisnes sendiri tetapi tetap tidak berjaya. Alam pekerjaannya yang terlama dan terpanjang adalah dengan Syarikat Nazaria. Sebab-sebab Alim bekerja lama di Nazaria adalah sebuah kisah yang amat melucukan dan menyakitkan hati.
Ceritanya begini..... Dah sekian lama juga Alim sibuk nak kahwin tapi abangnya dan juga ibubapanya tak benarkan. Sebabnya adalah kerana dia tidak mempunyai pekerjaan yang tetap. Maka syarat telah ditetapkan, mesti mempunyai pekerjaan yang tetap. Dari syarat-syarat itu, maka Alim telah berusaha keras secara tetap dengan Syarikat Nazaria.
Maka, pada 5 Jun 2004, Kamarulbahrin telah melangsungkan perkahwinannya dengan Ruzana bt Mohd Saud. Seterusnya pada 3 Oktober 2005, anak sulong mereka dilahirkan dan diberi nama Kamarul Irfan. Pada 21 Disember 2008. Kamarul Iqbal dilahirkan. Berta terbaru pula, anak ketiga mereka, Nur Khaleesa Dalila, telah dilahirkan pada 24 Januari 2010.
Sekali lagi Alim buat perangai. Dia berhenti kerja dengan Syarikat Nazaria. Sekarang dia juga melompat-lompat macam katak kepanasan, dari satu kerja ke satu kerja macam Omar. Cuma Omar berbeza kerana jawatan yang berlainan dan berkesinambungan pekerjaan.
Pada 19 Oktober 2009, Alim telah mengikuti kursus untuk pensijilan dalam bidang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Occupational Safety and Health Certificate). Diharap dengan adanya sijil ini, beliau akan memulakan penghidupan baru untuk membina alam pekerjaan yang baik bagi memperbaiki dan menaiktaraf kehidupan diri dan keluarganya.
KHOMSHATOL BARIAH (1972)
Dilahirkan di Butterworth pada tahun 1972. Ceritanya sungguh menarik kerana merupakan anak angkat kepada keluarga Hj Hasan dan Hajjah Rahimah. Hajjah Rahimah memang menggemari kanak-kanak sejak dahulu lagi. Atas rasa simpati, Rahimah telah cuba membantu satu keluarga Cina yang miskin dengan mengambil Bayah sejak hari pertama dilahirkan. Bayah merupakan dari keluarga keturunan Tan.
Bayah seterusnya telah dikahwinkan dengan seorang muallaf bernama Khalid. Hidup mereka tidaklah sebahagia yang diharapkan tetapi mereka dikurniakan dua orang anak iaitu Maria dan Mamat.
Pada tahun 1995, pada hari Hajjah Rahimah meninggal dunia, Bayah telah dating menziarahi Allahyarhamah. Selepas menziarahi, Bayah telah menghilangkan diri entah kemana. Dikhabarkan bahawa ia telah melarikan diri ke utara tanahair untuk mencari keluarga sebenarnya tetapi hampa.
Tetapi sekitar tahun 2000, entah dari mana munculnya Bayah, ia telah menghubungi isteri Othman iaitu Kak Nisah. Maka perhubungan mereka menjadi rapat sebagai adik dan kakak. Semasa kemunculan Bayah, didapati ia telah mengahwini seorang berbangsa Cina yang dikenali sebagai Amok. Mereka dikurniakan 3 orang anak perempuan. Entah lerrrr....
ABD RAZAK (26.3.1988)
Dilahirkan di Kuala Lumpur oleh seorang muallaf Cina manakala bapanya adalah berbangsa Melayu. Dikhabarkan bapanya menetap di Negeri Sembilan manakala ibundanya menetap di Singapura.
Abd Razak telah diambil oleh Hajjah Rahimah semasa beliau bekerja di Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM). Atas rasa simpati kerana ditinggalkan oleh lelaki yang disayangi oleh ibunda Razak, maka Hajjah Rahimah mengambil keputusan untuk mengambil dan membela Razak. Sepanjang pembesaran Razak, beliau telah dibelai dan dimanjakan oleh kakaknya, Arbaatol Robaiah. Tidur sama, kencing atas tilam pun sama, hahaha.
Akhirnya, apabila kakaknya melangsungkan perkahwinan pada tahun 1988, Razak telah dibawa bersama oleh kakaknya. Maka membesarlah Razak sehinggalah apabila ia berumur hampir 15 tahun, Razak telah dipelihara oleh abangnya Othman bertujuan untuk memperbetulkan arah hidupnya.
Semasa dijaga oleh abangnya, Razak telah diberikan hak yang sama didalam keluarga Othman dan ia dianggap juga sebagai anak Othman. Kini Razak telah berjaya didalam pelajarannya dan telah diterima untuk mengikuti Diploma Kejuteraan Mekanikal di Politeknik Tanjung Malim mulai 17 Julai 2006.
Malangnya, Razak sentiasa membuat pilihan yang salah dalam hidupnya. Pelbagai kesalahan yang mendukacitakan semua ahli keluarga. Pada kali ini, dalam tahun 2008, Razak telah dihantar oleh kolejnya untuk membuat pelajaran praktikal di sebuah syarikat. Apabila hampir tamat sesi praktikalnya, kilang berkenaan tealh ditutup. Betul ke?? Ini menjadi tanda soal bagi semua ahli keluarga. Pada awal tahun 2009, sekali lagi Razak menjalani sesi praktikal. Belum sempat tamat praktikal berkenaan, ia telah menarik diri dan mencari pekerjaan. Maka hancur lebur lah pengajian diploma yang dilaluinya.
Biar pun gagal dari segi pelajaran,Razak mula mengorak langkah dengan menceburi bidang perniagaan. Bermula dari perniagaan jenis MLM hingga lah bidang makanan. Mempelajari selok belok perniagaan dengan rakannya memerangkap Bos di UJANGFARM SDN BHD. Dalam tempoh setengah tahun Razak berjaya mendapat keuntungan iaitu rm 25000 dari UJANGFARM. Tetapi sudah ditakdirkan itu bukan rezekinya, duit tersebut lenyap dengan sekelip mata.Mengapa...hanya Razak saja yang tahu. Alhamdulillah pada 13 Januari 2010 Razak diterima berkerja di Koperasi Usahawan Dan Pengguna Elektronik Kuala Lumpur Berhad (KoUPay) dan ditugaskan sebagai Pegawai Tadbir di Jabatan Pembangunan Perniagaan yang kini giat menjalankan Projek usahasama bersama Jabatan Latihan Khidmat Negara,Pertubuhan Peladang Negeri Perlis,Universiti Malaysia Sabah,Koperasi Belia Islam. Pada 21 April 2011, sekali lagi Razak medapat kenaikan pangkat iaitu sebagai Penyelia Bahagian.
Biar pun gagal dari segi pelajaran,Razak mula mengorak langkah dengan menceburi bidang perniagaan. Bermula dari perniagaan jenis MLM hingga lah bidang makanan. Mempelajari selok belok perniagaan dengan rakannya memerangkap Bos di UJANGFARM SDN BHD. Dalam tempoh setengah tahun Razak berjaya mendapat keuntungan iaitu rm 25000 dari UJANGFARM. Tetapi sudah ditakdirkan itu bukan rezekinya, duit tersebut lenyap dengan sekelip mata.Mengapa...hanya Razak saja yang tahu. Alhamdulillah pada 13 Januari 2010 Razak diterima berkerja di Koperasi Usahawan Dan Pengguna Elektronik Kuala Lumpur Berhad (KoUPay) dan ditugaskan sebagai Pegawai Tadbir di Jabatan Pembangunan Perniagaan yang kini giat menjalankan Projek usahasama bersama Jabatan Latihan Khidmat Negara,Pertubuhan Peladang Negeri Perlis,Universiti Malaysia Sabah,Koperasi Belia Islam. Pada 21 April 2011, sekali lagi Razak medapat kenaikan pangkat iaitu sebagai Penyelia Bahagian.
Salasiah Keturunan Ho Sam
SALASIAH KETURUNAN HO SAM
Tahun 1850, di sebuah perkampungan di Peking (sekarang dipanggil Beijing), lahirlah seorang bayi lelaki. Bayi ini telah dibesarkan di kawasan desa dengan segala adat istiadat keturunan Cina. Lama kelamaan, bayi ini membesar kepada kanak-kanak sehinggalah ianya pandai berdikari.
Di usia yang begitu muda dan rapuh, kanak-kanak ini yang diberi nama HO SAM telah membuat keputusan untuk merantau bersama-sama rakan sebayanya. Maka bermula dari sini lah kisah dan salasiah keturunan HO SAM di Malaya. Ho Sam telah mula merantau pada tahun 1865 ketika berusia 15 tahun dengan menaiki sebuah tongkang untuk menjelajah ke rantau Asia, iaitu MALAYA, yang pada ketika itu merupakan hutan rimba yang luas.
Setibanya di Malaya, yang pada ketika itu hanyalah hutan belantara, maka penjelajahannya bermula. Dari Kuala Lumpur Ho Sam merantau ke Perak sehinggalah beliau telah diambil oleh Sultan Perak ketika itu untuk menjadi Putera Angkatnya. Ho Sam telah diberi kebebasan untuk memiliki seberapa luas tanah yang dikehendaki tetapi kesempatan ini telah tidak diambil oleh nya.
Seterusnya Ho Sam merantau ke Kedah dan bertemu dengan seorang gadis kampong bernama Maimunah @ Minah bte Mat Akil. Disini bermula pula titik permulaan keturunan Islam dan juga bermulanya keturunan MAT YATIM BIN ABDULLAH. Begitulah nama Ho Sam telah digantikan dengan nama Islamnya, Mat Yatim bin Abdullah. Sungguh bertuah Mat Yatim kerana rupa-rupanya Maimunah adalah sepupu kepada Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia yang pertama dan juga berketurunan Raja Kedah, yang juga dari keturunan Raja Bersiong.
Selepas menikahi Maimunah, Mat Yatim telah membawa Maimunah merantau sehinggalah mereka menetap di Chikus, Teluk Anson (sekarang Telok Intan), Perak. Kedua-dua mereka memiliki tanah perkampungan iaitu di Parit 10 (Maimunah) dan Parit 8 (Mat Yatim). Dengan pernikahan mereka, maka terhasil lah keturunan Mat Yatim bin Abdullah dengan Maimunah bte Mat Akil. Anak pertama mereka adalah kembar, iaitu yang sulung bernama Omar bin Mat Yatim dan keduanya bernama Othman bin Mat Yatim. Anak ketiga mereka seterusnya ialah Chik bte Mat Yatim, Keempat Entah ler...., Kelima Hendon bte Mat Yatim, Keenam Entah ler......., Ketujuh Hasan bin Mat Yatim dan yang bongsu Ibrahim bin Mat Yatim.
Sekarang, mari kita dengar pula kisah-kisah anak-anak Mat Yatim bin Abdullah dengan Maimunah bte Mat Akil. Sebelum itu, Maimunah bte Mat Akil kembali ke Rahmatullah pada sekitar akhir tahun 1960an dalam usia 87 tahun manakala Mat Yatim pula pada tahun 1975 pada usia 125 tahun. Allahyarhamah Maimunah disemadikan di Slim Village, Tanjung Malim, Perak dan Allahyarham Mat Yatim di Titi Gajah, Alor Setar, Kedah.
OMAR MY
Omar bin Mat Yatim semasa usia mudanya adalah seorang yang perkasa dan gagah. Riwayat yang diturunkan adalah Omar pada satu ketika sebelum akhir hayatnya, semasa Pertelingkahan Kaum di Sg Manik (antara Melayu dan Cina) telah cuba untuk menyelamatkan bapanya Mat Yatim yang ketika itu telah memasuki perkampungan Cina untuk berunding. Mendengar bapanya ke perkampungan Cina, Omar telah mengejar bapanya dan mendukung bapanya menyeberangi Sg Manik sambil dikejar oleh orang-orang Cina. Setibanya diseberang Sg Manik, kawasan Melayu, Omar telah menyuruh Mat Yatim menyelamatkan diri manakala Omar mempertahankan diri di sungai tersebut. Berlakulah peristiwa berdarah dimana di dalam pertarungan itu, Omar telah ditawan dan tubuhnya yang kujur tanpa kepala telah ditemui di Sg Manik. Innalillahi Wainna Ilaihi Rajiun. Omar yang ketika itu beristeri khabarnya mempunyai seorang anak lelaki tapi sehingga kini tidak ditemui atau dikenali.
OTHMAN MY
Othman bin Mat Yatim seorang anggota Polis Tentera. Berkahwin dengan Halijah dan mempunyai 3 orang anak iaitu Abdul Jalil, Maznah dan Amnah. Meninggal dunia pada usia sederhana pada sekitar tahun 1953 dimana telah ditimpa kemalangan dengan sebuah lori semasa menaiki motosikalnya.
CHIK MY
Chik bte Mat Yatim. Menetap di Slim Village hingga ke akhir hayatnya. Berkahwin dengan Mohamad dan mendapat seorang anak lelaki bernama Abdul Aziz bin Mohamad. Seterusnya menikahi buat kali keduanya dengan Abdul Samad dan mendapat anak iaitu Sidik dan Jaafar (Kembar), Mendek, Salleh, Samsudin, Mardhiah dan Rosli.
ANAK KEEMPAT - BUNIAN
Anak Keempat adalah anak perempuan yang amat istimewa. Maimunah semasa mengandungkan anak ini, pada suatu malam telah bermimpi untuk bersalin. Maka datanglah bidan-bidan untuk membantu Maimunah melahirkan anak istimewa ini. Didalam mimpi itu, atau mungkin di alam nyata yang tidak disedari, Maimunah telah selamat melahirkan seorang bayi perempuan yang sangat cantik. Selepas melahirkan anak ini, dan selepas dibersihkan tempat persalinan ini, maka Maimunah tersedar dan mendapati perutnya telah kempis. Tercari-cari ia akan anaknya. Rupa-rupanya anak Maimunah telah diambil oleh orang-orang Bunian. Mengapa mereka mengambilnya. Anak ini adalah seorang anak yang amat istimewa dimana pada tapak kakinya terdapat 7 tahi lalat atau juga dipanggil 7 bintang. Nasib masih menyebelahi Mat Yatim dan Maimunah. Berkat permintaan kedua-dua suami isteri ini, maka ahli Bunian telah membenarkan mereka untuk melihat anak gadis mereka dengan syarat tertentu ”Kamu boleh bertemu dengan anak kamu tapi kamu tidak boleh memegang atau menyentuhnya, walaupun seurat rambutnya”. Mereka berjanji. Anak gadis ini pun dijelmakan.
Sungguh cantik anak ini, rambutnya yang ikal mayang panjang, mukanya yang berseri-seri dan kulitnya yang lembut halus. Kalau Pak Long jumpa dia masa tu, Pak Long pun nak kahwin dengan dia. Dengan hati berdetup-detup, Mat Yatim yang tak tertahan geramnya meluru kearah anak itu bertujuan untuk memeluk anaknya yang dirindui serta mengambil kembali anak itu. Malang sungguh. Hanya angin yang didakapnya dan sehingga kehari ini anaknya tidak dapat diketemukan. Walau bagaimanapun, anak gadis ini mempunyai seorang anak lelaki yang bernama ABU HASSAN. Abu Hassan ini lah yang selalu mendampingi Tok Wan Hasan dan dikhabarkan wajah Abu Hasan sama miripnya dengan Tok Wan Hasan.
HENDON MY
Hendon bte Mat Yatim, anak kelima kepada Mat Yatim tapi dijadikan pula anak keempat dan digelarkan Endak. Bernikah dengan Abdul Aziz dan dikurniakan beberapa orang anak iaitu Asiah, Sefee, Norlela, Zulkifli (Man – seorang DSP Cawangan Khas PDRM) dan Adik Nor serta beberapa lagi yang Pak Long tak ingat nama. Pada akhir tahun 1990an, Hendon telah menghembuskan nafas terakhirnya di Teluk Intan, Perak.
ANAK LELAKI
Anak Keenam merupakan anak lelaki. Malangnya pada usia bayi lagi, masih lagi dalam pantang, Mat Yatim dan Maimunah mengalami kesempitan dalam kehidupan mereka. Akhirnya bayi lelaki ini telah diserahkan kepada seorang guru bernama TAJUDIN. Tajudin pula akhirnya telah berpindah dan sehingga kini telah terputus hubungan dengan kerabat Mat Yatim dan Maimunah.
HASAN MY
Hasan bin Mat Yatim. Telah dilahirkan pada 16 April 1929 di Chikus, Telok Intan, Perak. Pada usia 23 tahun iaitu pada tahun 1952, beliau telah memohon untuk berkhidmat dengan Tentera British. Permohonannya berjaya dan beliau ditempatkan di Changi, Singapura. Pada tahun 1957, Hasan telah ditugaskan ke Hong Kong. Sebelum bergerak ke Hong Kong, khabarnya Hasan telahpun bertunang dengan seorang gadis Chikus. Belayarlah Hasan ke Hong Kong. Bermula di Hong Kong lah, maka sejarah HJ HASAN BIN MAT YATIM bermula dimana Hasan telah bertemu dengan seorang gadis Canton, China yang bernama LAM YIN CHUN.
Lam Yin Chun telah dilahirkan pada 22 Mei 1937 di sebuah perkampungan di Canton, China (Sekarang dikenali sebagai Kwang Tong daerah Guangzhou). Ayah nya telah hilang semasa Tentera Jepun menjajahi China antara tahun 1942 – 1945. Ibunya yang bernama Fong Kiew akhirnya telah mengahwini Lam Chee Keong. Pada tahun 1958, Lam Yin Chun telah memasuki Hong Kong bertujuan untuk mencari pekerjaan. Bermula disinilah Hasan bertemu Lam Yin Chun. Akhirnya, pada Oktober 1958, Hasan menikahi Lam Yin Chun dan mereka diterbangkan secara berasingan ke Singapura. Lam Yin Chun telah menukarkan nama Islamnya kepada Rahimah bt Abdullah (Nombor Kad Pengenalan: 7600440).
Hasil perkahwinan Hasan dan Rahimah, maka lahirlah kedunia ini Othman (24.12.1959), Omar (21.12.1961), Muhammed (30.10.1964), Kamarudzaman (1967), Arbaatol Robaiah (20.12.1970) dan Kamarulbahrin (1976). Kemudian menyusuli Khomshatol Bariyah (1972) dan Abdul Razak (26.03.1988) dalam kehidupan mereka.
Pada tahun 1960, Hasan telah menamatkan perkhidmatannya dari Tentera British. Walau bagaimanapun, pada tahun 1961, Hasan telah memulakan perkhidmatannya dengan Tentera Udara DiRaja Malaysia dengan nombor tentera 700662 sehinggalah beliau menamatkan perkhidmatannya pada akhir tahun 1979. Pada tahun 1990, Hasan dan Rahimah telah menunaikan Ibadah Haji. Namun kesedihan melanda keluarga Hasan dan keluarganya apabila pada 29 Oktober 1995, Hajjah Rahimah kembali ke Rahmatullah.
Sejurus selepas kematian Hajjah Rahimah, pada tahun 1996 Haji Hasan telah menikahi Khatijah bt Taib yang berasal dari Kg Gadek, Alor Gajah, Melaka. Malang tidak berbau, pada 3 Disember 2000, Khatijah ditimpa kemalangan jalanraya bersama-sama adiknya Zaiton dan meninggal dunia. Haji Hasan menyusuli mereka ke Rahmatullah pada 17 Oktober 2004. Untuk kisah selanjutnya keluarga Hj Hasan akan dipaparkan pada siri akan datang.
IBRAHIM MY
Anak Bongsu kepada Mat Yatim dan Maimunah ialah Ibrahim bin Mat Yatim. Seorang bekas anggota repal Rejimen Askar Melayu DiRaja. Telah berkahwin dan mempunyai 4 orang anak iaitu Norini, Norlia, Norhayati dan Zainal Abidin. Meninggal dunia pada tahun 1980an.
Begitulah kisahnya keturunan Mat Yatim bin Abdullah dan Maimunah @ Minah bt Mat Akil. Seorang Cina dari Peking berhijrah ke Malaya dan mengahwini seorang gadis desa dari Kedah, berketurunan Diraja. Lagikan lidah lagi tergigit, begitu jugalah kehidupan mereka. Seingat Pak Long, Mat Yatim dan Maimunah telah tidak tinggal bersama sejak Pak Long kecil lagi, sekitar tahun 1960an. Sebab itu mereka tinggal berasingan.
Sebagai memperingati sejarah dan pengembangan keluarga Mat Yatim dan Maimunah, marilah kita sama-sama sedekahkan surah Al-Fatihah kepada nenek moyang kita serta datuk-nenek kita. AL-FATIHAH.
- TAMAT -
Nota:
Cerita ini bukan rekaan tetapi benar. Cuma mungkin ada beberapa fakta yang kurang tepat tetapi catatan ini dikarang atas ingatan Pak Long sahaja. Ianya memang hampir tepat 99%. Wassalam.
Kata-kata Pengarang
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan limpah kurniaNya serta atas kerestuan dan hidayahNya, saya telah hamper berjaya menyiapkan sebuah kisah berbentuk sejarah, yang mengisahkan seorang budak Cina dari sebuah keturunan Tanah Besar China telah dengan berani dan penuh tekad, berhijrah jauh dari kampong halamannya untuk mencuba satu pembaharuan hidup di Malaya.
Kisah keturunan ini adalah benar mengikut pengetahuan saya dan tidak ada tokok tambahnya, malahan saya sebagai seorang manusia biasa hanya mampu mengingati dan mentintakan ingatan ini ke atas kertas putih ini.
Jadikan lah cerita ini sebagai satu semangat, satu pedoman dimana seorang kanak-kanak mempunyai keberanian untuk merantau, jauh dari kaum keluarga dan sanak saudara demi untuk memantapkan generasinya. Jadikan lah ia sebagai ikhtibar untuk keturunan seterusnya untuk mempunyai keberanian seperti yang moyang kita telah tempuhi.
Moyang kita pada asalnya adalah seorang yang beragama Bukan Islam. Namun, atas kehendak Allah Subhanahu Wataala, maka beliau dengan rela hati telah memeluk agama Islam di usia dua puluhan. Maka, saya ingin memperingatkan diri saya dan kesemua keturunan Ho Sam, pertingkatkanlah keislaman kita, jagalah keIslaman hingga keakhir hayat. Jangan disia-siakan ISLAM kita.
Satu permintaan ikhlas dari saya. Jadikanlah hasil tulisan saya ini sebagai panduan keturunan kita. Jika berkemampuan, sambungkanlah cerita ini berbentuk tulisan dengan menambah perkataan “SAMBUNGAN SATU” dan seterusnya. Biarlah keturunan kita tahu siapakah diri kita yang sebenarnya.
Akhir sekali, sedekahkan lah surah suci AL-FATIHAH kepada teraju keturunan kita. Air dicincang tidak akan putus.
Daripada OTHMAN HJ HASSAN : Mula meninta sejarah ini pada 24.09.2006 bersamaan 1 Ramadhan 1427.
Subscribe to:
Posts (Atom)