SALASIAH KETURUNAN HO SAM
Tahun 1850, di sebuah perkampungan di Peking (sekarang dipanggil Beijing), lahirlah seorang bayi lelaki. Bayi ini telah dibesarkan di kawasan desa dengan segala adat istiadat keturunan Cina. Lama kelamaan, bayi ini membesar kepada kanak-kanak sehinggalah ianya pandai berdikari.
Di usia yang begitu muda dan rapuh, kanak-kanak ini yang diberi nama HO SAM telah membuat keputusan untuk merantau bersama-sama rakan sebayanya. Maka bermula dari sini lah kisah dan salasiah keturunan HO SAM di Malaya. Ho Sam telah mula merantau pada tahun 1865 ketika berusia 15 tahun dengan menaiki sebuah tongkang untuk menjelajah ke rantau Asia, iaitu MALAYA, yang pada ketika itu merupakan hutan rimba yang luas.
Setibanya di Malaya, yang pada ketika itu hanyalah hutan belantara, maka penjelajahannya bermula. Dari Kuala Lumpur Ho Sam merantau ke Perak sehinggalah beliau telah diambil oleh Sultan Perak ketika itu untuk menjadi Putera Angkatnya. Ho Sam telah diberi kebebasan untuk memiliki seberapa luas tanah yang dikehendaki tetapi kesempatan ini telah tidak diambil oleh nya.
Seterusnya Ho Sam merantau ke Kedah dan bertemu dengan seorang gadis kampong bernama Maimunah @ Minah bte Mat Akil. Disini bermula pula titik permulaan keturunan Islam dan juga bermulanya keturunan MAT YATIM BIN ABDULLAH. Begitulah nama Ho Sam telah digantikan dengan nama Islamnya, Mat Yatim bin Abdullah. Sungguh bertuah Mat Yatim kerana rupa-rupanya Maimunah adalah sepupu kepada Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia yang pertama dan juga berketurunan Raja Kedah, yang juga dari keturunan Raja Bersiong.
Selepas menikahi Maimunah, Mat Yatim telah membawa Maimunah merantau sehinggalah mereka menetap di Chikus, Teluk Anson (sekarang Telok Intan), Perak. Kedua-dua mereka memiliki tanah perkampungan iaitu di Parit 10 (Maimunah) dan Parit 8 (Mat Yatim). Dengan pernikahan mereka, maka terhasil lah keturunan Mat Yatim bin Abdullah dengan Maimunah bte Mat Akil. Anak pertama mereka adalah kembar, iaitu yang sulung bernama Omar bin Mat Yatim dan keduanya bernama Othman bin Mat Yatim. Anak ketiga mereka seterusnya ialah Chik bte Mat Yatim, Keempat Entah ler...., Kelima Hendon bte Mat Yatim, Keenam Entah ler......., Ketujuh Hasan bin Mat Yatim dan yang bongsu Ibrahim bin Mat Yatim.
Sekarang, mari kita dengar pula kisah-kisah anak-anak Mat Yatim bin Abdullah dengan Maimunah bte Mat Akil. Sebelum itu, Maimunah bte Mat Akil kembali ke Rahmatullah pada sekitar akhir tahun 1960an dalam usia 87 tahun manakala Mat Yatim pula pada tahun 1975 pada usia 125 tahun. Allahyarhamah Maimunah disemadikan di Slim Village, Tanjung Malim, Perak dan Allahyarham Mat Yatim di Titi Gajah, Alor Setar, Kedah.
OMAR MY
Omar bin Mat Yatim semasa usia mudanya adalah seorang yang perkasa dan gagah. Riwayat yang diturunkan adalah Omar pada satu ketika sebelum akhir hayatnya, semasa Pertelingkahan Kaum di Sg Manik (antara Melayu dan Cina) telah cuba untuk menyelamatkan bapanya Mat Yatim yang ketika itu telah memasuki perkampungan Cina untuk berunding. Mendengar bapanya ke perkampungan Cina, Omar telah mengejar bapanya dan mendukung bapanya menyeberangi Sg Manik sambil dikejar oleh orang-orang Cina. Setibanya diseberang Sg Manik, kawasan Melayu, Omar telah menyuruh Mat Yatim menyelamatkan diri manakala Omar mempertahankan diri di sungai tersebut. Berlakulah peristiwa berdarah dimana di dalam pertarungan itu, Omar telah ditawan dan tubuhnya yang kujur tanpa kepala telah ditemui di Sg Manik. Innalillahi Wainna Ilaihi Rajiun. Omar yang ketika itu beristeri khabarnya mempunyai seorang anak lelaki tapi sehingga kini tidak ditemui atau dikenali.
OTHMAN MY
Othman bin Mat Yatim seorang anggota Polis Tentera. Berkahwin dengan Halijah dan mempunyai 3 orang anak iaitu Abdul Jalil, Maznah dan Amnah. Meninggal dunia pada usia sederhana pada sekitar tahun 1953 dimana telah ditimpa kemalangan dengan sebuah lori semasa menaiki motosikalnya.
CHIK MY
Chik bte Mat Yatim. Menetap di Slim Village hingga ke akhir hayatnya. Berkahwin dengan Mohamad dan mendapat seorang anak lelaki bernama Abdul Aziz bin Mohamad. Seterusnya menikahi buat kali keduanya dengan Abdul Samad dan mendapat anak iaitu Sidik dan Jaafar (Kembar), Mendek, Salleh, Samsudin, Mardhiah dan Rosli.
ANAK KEEMPAT - BUNIAN
Anak Keempat adalah anak perempuan yang amat istimewa. Maimunah semasa mengandungkan anak ini, pada suatu malam telah bermimpi untuk bersalin. Maka datanglah bidan-bidan untuk membantu Maimunah melahirkan anak istimewa ini. Didalam mimpi itu, atau mungkin di alam nyata yang tidak disedari, Maimunah telah selamat melahirkan seorang bayi perempuan yang sangat cantik. Selepas melahirkan anak ini, dan selepas dibersihkan tempat persalinan ini, maka Maimunah tersedar dan mendapati perutnya telah kempis. Tercari-cari ia akan anaknya. Rupa-rupanya anak Maimunah telah diambil oleh orang-orang Bunian. Mengapa mereka mengambilnya. Anak ini adalah seorang anak yang amat istimewa dimana pada tapak kakinya terdapat 7 tahi lalat atau juga dipanggil 7 bintang. Nasib masih menyebelahi Mat Yatim dan Maimunah. Berkat permintaan kedua-dua suami isteri ini, maka ahli Bunian telah membenarkan mereka untuk melihat anak gadis mereka dengan syarat tertentu ”Kamu boleh bertemu dengan anak kamu tapi kamu tidak boleh memegang atau menyentuhnya, walaupun seurat rambutnya”. Mereka berjanji. Anak gadis ini pun dijelmakan.
Sungguh cantik anak ini, rambutnya yang ikal mayang panjang, mukanya yang berseri-seri dan kulitnya yang lembut halus. Kalau Pak Long jumpa dia masa tu, Pak Long pun nak kahwin dengan dia. Dengan hati berdetup-detup, Mat Yatim yang tak tertahan geramnya meluru kearah anak itu bertujuan untuk memeluk anaknya yang dirindui serta mengambil kembali anak itu. Malang sungguh. Hanya angin yang didakapnya dan sehingga kehari ini anaknya tidak dapat diketemukan. Walau bagaimanapun, anak gadis ini mempunyai seorang anak lelaki yang bernama ABU HASSAN. Abu Hassan ini lah yang selalu mendampingi Tok Wan Hasan dan dikhabarkan wajah Abu Hasan sama miripnya dengan Tok Wan Hasan.
HENDON MY
Hendon bte Mat Yatim, anak kelima kepada Mat Yatim tapi dijadikan pula anak keempat dan digelarkan Endak. Bernikah dengan Abdul Aziz dan dikurniakan beberapa orang anak iaitu Asiah, Sefee, Norlela, Zulkifli (Man – seorang DSP Cawangan Khas PDRM) dan Adik Nor serta beberapa lagi yang Pak Long tak ingat nama. Pada akhir tahun 1990an, Hendon telah menghembuskan nafas terakhirnya di Teluk Intan, Perak.
ANAK LELAKI
Anak Keenam merupakan anak lelaki. Malangnya pada usia bayi lagi, masih lagi dalam pantang, Mat Yatim dan Maimunah mengalami kesempitan dalam kehidupan mereka. Akhirnya bayi lelaki ini telah diserahkan kepada seorang guru bernama TAJUDIN. Tajudin pula akhirnya telah berpindah dan sehingga kini telah terputus hubungan dengan kerabat Mat Yatim dan Maimunah.
HASAN MY
Hasan bin Mat Yatim. Telah dilahirkan pada 16 April 1929 di Chikus, Telok Intan, Perak. Pada usia 23 tahun iaitu pada tahun 1952, beliau telah memohon untuk berkhidmat dengan Tentera British. Permohonannya berjaya dan beliau ditempatkan di Changi, Singapura. Pada tahun 1957, Hasan telah ditugaskan ke Hong Kong. Sebelum bergerak ke Hong Kong, khabarnya Hasan telahpun bertunang dengan seorang gadis Chikus. Belayarlah Hasan ke Hong Kong. Bermula di Hong Kong lah, maka sejarah HJ HASAN BIN MAT YATIM bermula dimana Hasan telah bertemu dengan seorang gadis Canton, China yang bernama LAM YIN CHUN.
Lam Yin Chun telah dilahirkan pada 22 Mei 1937 di sebuah perkampungan di Canton, China (Sekarang dikenali sebagai Kwang Tong daerah Guangzhou). Ayah nya telah hilang semasa Tentera Jepun menjajahi China antara tahun 1942 – 1945. Ibunya yang bernama Fong Kiew akhirnya telah mengahwini Lam Chee Keong. Pada tahun 1958, Lam Yin Chun telah memasuki Hong Kong bertujuan untuk mencari pekerjaan. Bermula disinilah Hasan bertemu Lam Yin Chun. Akhirnya, pada Oktober 1958, Hasan menikahi Lam Yin Chun dan mereka diterbangkan secara berasingan ke Singapura. Lam Yin Chun telah menukarkan nama Islamnya kepada Rahimah bt Abdullah (Nombor Kad Pengenalan: 7600440).
Hasil perkahwinan Hasan dan Rahimah, maka lahirlah kedunia ini Othman (24.12.1959), Omar (21.12.1961), Muhammed (30.10.1964), Kamarudzaman (1967), Arbaatol Robaiah (20.12.1970) dan Kamarulbahrin (1976). Kemudian menyusuli Khomshatol Bariyah (1972) dan Abdul Razak (26.03.1988) dalam kehidupan mereka.
Pada tahun 1960, Hasan telah menamatkan perkhidmatannya dari Tentera British. Walau bagaimanapun, pada tahun 1961, Hasan telah memulakan perkhidmatannya dengan Tentera Udara DiRaja Malaysia dengan nombor tentera 700662 sehinggalah beliau menamatkan perkhidmatannya pada akhir tahun 1979. Pada tahun 1990, Hasan dan Rahimah telah menunaikan Ibadah Haji. Namun kesedihan melanda keluarga Hasan dan keluarganya apabila pada 29 Oktober 1995, Hajjah Rahimah kembali ke Rahmatullah.
Sejurus selepas kematian Hajjah Rahimah, pada tahun 1996 Haji Hasan telah menikahi Khatijah bt Taib yang berasal dari Kg Gadek, Alor Gajah, Melaka. Malang tidak berbau, pada 3 Disember 2000, Khatijah ditimpa kemalangan jalanraya bersama-sama adiknya Zaiton dan meninggal dunia. Haji Hasan menyusuli mereka ke Rahmatullah pada 17 Oktober 2004. Untuk kisah selanjutnya keluarga Hj Hasan akan dipaparkan pada siri akan datang.
IBRAHIM MY
Anak Bongsu kepada Mat Yatim dan Maimunah ialah Ibrahim bin Mat Yatim. Seorang bekas anggota repal Rejimen Askar Melayu DiRaja. Telah berkahwin dan mempunyai 4 orang anak iaitu Norini, Norlia, Norhayati dan Zainal Abidin. Meninggal dunia pada tahun 1980an.
Begitulah kisahnya keturunan Mat Yatim bin Abdullah dan Maimunah @ Minah bt Mat Akil. Seorang Cina dari Peking berhijrah ke Malaya dan mengahwini seorang gadis desa dari Kedah, berketurunan Diraja. Lagikan lidah lagi tergigit, begitu jugalah kehidupan mereka. Seingat Pak Long, Mat Yatim dan Maimunah telah tidak tinggal bersama sejak Pak Long kecil lagi, sekitar tahun 1960an. Sebab itu mereka tinggal berasingan.
Sebagai memperingati sejarah dan pengembangan keluarga Mat Yatim dan Maimunah, marilah kita sama-sama sedekahkan surah Al-Fatihah kepada nenek moyang kita serta datuk-nenek kita. AL-FATIHAH.
- TAMAT -
Nota:
Cerita ini bukan rekaan tetapi benar. Cuma mungkin ada beberapa fakta yang kurang tepat tetapi catatan ini dikarang atas ingatan Pak Long sahaja. Ianya memang hampir tepat 99%. Wassalam.
Congrats to Pak Long Othman..very good effort in making these into a history and life of our beloved great grandfather and family members...
ReplyDeletefor pak long jer ker....for admin takde...hehheheh
ReplyDeleteyesss..congrats also to Mr A Razak and all who had committed and contributed until to reality of this blog. Applause to yourself...
ReplyDelete